Al-Amanah & Al-Quwwah

Nama diberi Ahmad Mustapha Bin Ab Azais Berasal drpd Kelantan,Bandaraya Islam Belajar di UNISEL,Bestari Jaya.berpindah ke UNISEL SHAH ALAM Jurusan Degree Accounting.Ditaklifkan Bendahari GAMIS 11/12,Presiden Persatuan Pembangunan Insan Unisel Shah Alam 11/12,Mantan Presiden P.A.K.U 1011.Merupakan Mantan Presiden i Rakan 09/10. ("Pemimpin yang hebat adalah pemimpin yang berjiwa BESAR dan di belakangnya pengikut-pengikut yang juga berjiwa BESAR")

20 Tahun Membangun Bersama Islam



UCAPAN TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ
NIK MAT

SAMBUTAN 20 TAHUN PENTADBIRAN MEMBANGUN BERSAMA ISLAM NEGERI KELANTAN

Pada 12 Zulkaedah 1431 bersamaan 20 Oktober 2010, jam 9.00 malam di Dewan Konvensyen Kelantan Trade Centre (KTC), Kota Bharu.

Firman Allah SWT, (Surah Al Hasyr Ayat 18) bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan lara


ngannNya); dan hendaklah tiap-tiap diri, melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). (Sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha meliputi pengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.”

Alhamdulillah segala syukur dan pujian itu hanya bagi Allah S.W.T., selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W., ahli keluarga baginda serta sekalian sahabat dan pendukung perjuangan baginda.

Mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Ke-V, Al-Sultan bagi Negeri Kelantan Darulnaim.

Ampun Tuanku, sembah patik harap diampun.

Di kesempatan yang bermakna ini, patik bagi pihak diri patik dan seluruh warga pentadbiran Negeri Kelantan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih diatas kesudian Tuanku, untuk berangkat mencemar duli, merasmikan Majlis Sambutan 20 Tahun Pentadbrian Membangun Bersama Islam, pada malam yang penuh berbahagia ini. Semoga dengan keberangkatan Tuanku menambahkan keserian majlis ini. Harapan patik, agar Tuanku sentiasa dilimpahkan keberkatan oleh Allah S.W.T. di dunia dan di akhirat.


Untuk pengetahuan Tuanku, pada hari ini, 20 Oktober 2010 genaplah dua dekad atau 20 tahun Kerajaan Negeri Kelantan diterajui dengan dasar Membangun Bersama Islam. Alhamdulillah, dan segala puji bagi Allah S.W.T. yang telah memberikan kekuatan kepada patik dan seluruh warga pentadbiran Kerajaan Negeri, untuk terus cekal, mengharungi segala pahit-maung yang ditempuhi selama menerajui kerajaan ini. Semoga dengan limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, menambahkan lagi kekuatan bagi patik sekalian, untuk terus memikul amanah, yang telah dipertanggungjawabkan ini.

Ampun Tuanku, sembah patik harap diampun.

Sekali lagi patik merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Tuanku, diatas kesudian berangkat mencemar duli, hadir ke majlis ini. Semoga dengan kehadiran Tuanku, bertambahlah kasih dan sayang rakyat Kelantan, khususnya, dan akan sentiasa mengutuskan doa, agar Kerajaan Tuanku disirami rahmat oleh Allah S.W.T., Patik mohon izin limpah perkenan Tuanku, untuk menyampaikan kata-kata pesanan kepada pacal rakyat sekalian.

Sesungguhnya ingat mengingati dan tegur menegur adalah merupakan kerja agama. Al-Quranul karim menggunakan pelbagai bahasa bertujuan untuk menegur manusia. Ada yang dimulakan dengan berkataan “wa iz” iaitu ingatlah olehmu. Ada yang terang-terang menggunakan “Wazkur” Atau “wazakkirhum”. Demikian juga Al-Quran itu sendiri dinamakan dengan tazkirah menunjukkan bahawa ingat memperingati adalah merupakan salah satu daripada ajaran agama. Justeru, apa yang kita lakukan pada hari ini iaitu mengingati dua puluh tahun Kelantan Membangun Bersama Islam adalah kerja agama. Ia bukan dilakukan hanya sekadar untuk bersuka-suka semata-mata.

Dua puluh tahun yang lampau, pada tarikh ini 20 Oktober, rakyat Kelantan telah membuat keputusan yang terpahat selama-lamanya di dalam sejarah. Pilihan yang termaktub lewat Pilihan Raya Umum pada tahun 1990 telah menjadi bahan perhatian bukan sahaja di seluruh negara bahkan seluruh dunia. Bolehkah sebuah negeri, ditadbir dengan dasar-dasar Islam? Lebih jauh lagi, bolehkah dasar yang diperkenalkan, iaitu Membangun Bersama Islam, dapat diterima di dalam sebuah masyarakat majmuk?

Persoalan demi persoalan muncul, bukan sahaja di kalangan non muslim. Bahkan umat Islam sendiri pun, yang tidak memahami dengan baik dasar-dasar pentadbiran secara Islam, mempertikaikan hasrat Kerajaan Negeri Kelantan, pada masa itu. Segala pujian bagi Allah S.W.T. tempoh tiga bulan yang diberikan sesetengah pihak, berjaya kita lalui, bulan demi bulan, tahun demi tahun, kita berdepan dengan tekanan yang tidak menghormati amalan demokrasi dan federalisme. Dan hari ini Alhamdulillah, Membangun Bersama Islam sebagai dasar utama pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan, kini sudah berusia 20 tahun.

Memerintah dan mentadbir negara, pada hakikatnya termasuk di dalam urusan agama. Ini dibuktikan oleh Rasulullah S.A.W. sendiri yang juga merupakan Perdana Menteri Negara Islam Pertama berpusat di Madinah Al-Munawarrah telah setiap hari mengurus tadbir urusan negara. Ini sekaligus menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa pentadbiran negara, ialah urusan yang berasingan dengan agama. Rasulullah S.A.W. telah membuat perjanjian bertulis dengan musuh tradisi iaitu Yahudi di Madinah. Baginda juga turut mengirim surat-surat kepada Raja-Raja yang ada di sekitar Semenanjung Arab serta mempunyai cop mohornya sendiri. Ini menunjukkan asas-asas pentadbiran negara telah diletakkan oleh baginda.

Kita menyaksikan bagaimana usia dakwah Rasulullah S.A.W. ialah selama dua puluh tiga tahun; tiga belas tahun di Mekah dan sepuluh tahun di Madinah. Tempoh yang begitu panjang ini, sangatlah mustahil dijadikan oleh Allah S.W.T. hanya untuk mengajar solat dan puasa semata-mata, tanpa sebarang aktiviti yang lain khususnya pengurusan negara. Melalui Perlembagaan Langit yang namanya Al-Quran, Allah S.W.T. menyampaikan wahyuNya yang bukan sekadar memerintah supaya bersolat dan berpuasa, bahkan terdapat padanya urusan hukum-hukum jenayah, jihad, urusan pembahagian harta pusaka, mengurus rampasan perang, melantik al-ummal, umara al ajnad, menjawab persoalan-persoalan rumah tangga dan menyelesaikan kekusutan jenayah seks dan mal. Alangkah salahnya jika wujud dakwaan bahawa Islam dan Al-Quran langsung tidak berbicara mengenai pemerintahan walhal ia telah menyusun semua urusan hidup manusia semenjak seribu empat ratus tahun sebelum wujudnya Perlembagaan Lord Reid. Allah S.W.T sendiri menjanjikan pahala di sebalik setiap amalan yang dilakukan asalkan selari dengan syariat Allah. Bagaimana pahala boleh dianugerahkan kiranya ianya tidak dikira agama? FirmanNya (Surah At Taubah Ayat 120) bermaksud:

“Yang demikian kerana sesungguhnya (tiap-tiap kali) mereka merasai dahaga, dan merasai penat lelah, dan juga merasai lapar (dalam perjuangan) pada jalan Allah; dan (tiap-tiap kali) mereka menjejak sesuatu tempat yang menimbulkan kemarahan musuh; dan juga (tiap-tiap kali) mereka menderita sesuatu yang mencederakan dari pihak musuh – semua itu ditulis bagi mereka: (pahala) amal yang soleh. Sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. Bahkan diantara tujuh golongan yang dijemput berteduh di bawah naungan Arasy-Nya ketika mana tidak ada sebarang teduhan lain di Padang Mahsyar ialah Imam adil.”

Menyedari hakikat itulah, dasar Membangun Bersama Islam kita perkenalkan apabila diberikan mandat oleh rakyat pada tahun 1990. Membangun Bersama Islam dengan maksud kita akan terus memacu pembangunan selari dengan landasan yang ditentukan oleh Allah S.W.T. Pembangunan perlu terus dilaksanakan kerana dunia ini dijadikan oleh Allah S.W.T. untuk manusia, bukan untuk malaikat atau makhluk lain. Namun pembangunan yang kosong rohaninya hanyalah umpama pokok besar yang akarnya buruk dan reput. Daunnya sekalipun merimbun tidak akan lama menaungi, masanya tersemban jatuh sangat mudah. Di antara ajaran penting dalam Islam ialah dunia ini bersambung dengan akhirat dan ini tidak ada di dalam ajaran ideologi yang lain selain Islam. Oleh yang demikian, sangatlah jauh berbeza pemikiran seorang mukmin dan seorang pendukung sekular. Orang-orang Mukmin melihat jauh ke akhirat berbeza dengan orang-orang sekular melihat hanya setakat dunia sahaja. Umpama seorang anak yang berumur dua tiga tahun bila bersama ibunya ke pasar. Anak kecil itu hanya berfikir untuk membeli belon dan alat-alat permainan yang boleh menyeronokkan. Berbeza dengan pemikiran si ibu yang berfikir lebih jauh, pemikiran ibu berkisar kepentingan sekeluarga, apakah lauk pauk atau makanan yang perlu dibawa pulang untuk kesiapan rumah nanti. Itulah perumpamaan pemikiran sekular yang hanya terhenti setakat di dunia, ia tidak lebih umpama seorang anak kecil yang hanya berfikir untuk alatan permainannya semata-mata!

Alhamdulillah, dengan amanah diberikan oleh Allah S.W.T. ini, kita melaksanakan apa yang selama ini hanya dapat disebut di dalam masjid sahaja. Sudah lama kita menyebut tentang haramnya judi, arak, riba, pendedahan aurat dan sebagainya. Namun ia hanya dapat dikuatkuasakan bila kita ada kerajaan. Kita telah mengharamkan riba dan kita wujudkan Ar-Rahn apabila ada kerajaan dan menggalakkan perbankan Islam dengan memindahkan semua wang kerajaan ke perbankan Islam. Di dalam bidang pendidikan, kita wujudkan Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat dan Maahad Tahfiz Sains yang dulunya dianggap mustahil. Di dalam pentadbiran, kita namakan teras UMI atau Ubudiyyah, Masuliyyah dan Itqan. Tenaga urus tadbir diajar bahawa kerja yang dilakukan ini dikawal oleh CCTV Allah S.W.T. melalui Polis Rahsia Allah yang namanya Malaikat.


Hasilnya, dalam masa 20 tahun, kita tidak dengar warga tadbir Kerajaan Negeri Kelantan didapati bersalah atas tuduhan rasuah di mahkamah. Untuk keselesaan tenaga pekerja, kita perkenalkan cuti dua hari seminggu. Masih tergiang-giang tuduhan yang menyatakan rakyat Kelantan akan menjadi pemalas dengan perubahan ini. Namun kini tanpa segan silu ia ditiru oleh seluruh negara. Rupanya untuk memperkenalkan dasar semudah itupun, tidak terlintas di benak pemikiran mereka kerana terlampau bergantung kepada telunjuk barat.

Di samping itu, kebajikan rakyat tidak dilupa, kita wujudkan Skim Takaful Kifaalah untuk warga emas tanpa mengira fahaman politik, Ladang Rakyat diwujud yang kini ditiru oleh sesetengah negeri di samping kita menjaga kebajikan armalah atau ibu tunggal. Alhamdulllah, budi yang ditabur ini saya yakin dapat dinikmati setelah Kelantan mempunyai kerajaan berlandaskan Islam. [Pantun]

Di sana padi di sini padi

Baru sempurna bernama bendang

Di sana budi di sini budi

Baru sempurna bernama orang

Perubahan dan pembaharuan selama 20 tahun tentunya tidak dapat diceritakan di dalam masa yang singkat. Apa yang pasti, Kelantan Alhamdulillah terus membangun. Rakyat Kelantan menikmati arus pembangunan tanpa terjejas dengan gangguan-gangguan yang dibuat-buat. Bezanya, pembangunan ini dipasak di atas asas yang namanya rohani. Pembangunan rohani inilah yang sering kali tidak dipedulikan. Yakinlah, manusia jika hanya membangun jasmaninya tetapi mengenepikan rohaninya, ia akan pincang. Umpama kapal terbang yang mempunyai dua sayap dipaksa terbang dengan satu sayap, bagaimana jadinya? Manusia diciptakan menggunakan dua bahan mentah satunya jasmani manakala satu lagi rohani. Kedua-duanya dicampur dan bercantum seperti kembar siam yang tidak boleh dipisahkan. Firman Allah S.W.T. (Surah al-Hijri Ayat 29) bermaksud:

“Kemudian apabila Kami sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan) Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya.”

Kerana itu, Allah S.W.T. menjanjikan di sebalik kesenangan di dunia dan kemewahannya itu, disediakan satu lagi ganjaran abadi di akhirat, sekiranya hidup itu dilandaskan di atas iman dan taqwa kepada Allah dalam semua bidang hidup.

Firman Allah S.W.T. (Surah Muhammad Ayat 36) bermaksud: “Sesungguhnya kehidupan dunia hanyalah permainan dan senda gurau. Tetapi jika kamu beriman dan bertaqwa, Allah akan memberikan pahala kepadamu di akhirat dan Dia tidak akan meminta harta-hartamu.”

Akhir kata, besarlah harapan saya agar benih yang kita tanam pada hari ini dapat dijaga sebaik mungkin oleh generasi yang akan datang. Nakhoda bahtera boleh bertukar ganti, namun kemudinya biarlah sentiasa terarah ke destinasi yang betul, iaitu arah “Siratal lazi na an am ta alaihim, Minan nabi yiin wassa diqin wasyuhada’ wassalihin” seperti yang setiap masa kita pohon dalam sembahyang. Semoga Negeri Kelantan terus dipayungi dengan rahmat dan keberkatan oleh Allah S.W.T. dan terus membangun bersama Islam. Junjung kasih patik Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Kelantan yang sudi berangkat mencemar duli merasmikan majlis ini pada malam ini. Sekian, saya sudahi dengan “aqu lu qau li wastaghfirullah al azim li wa lakum, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.”

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29117:20-tahun-membangun-bersama-islam&catid=114:mursyidul-am&Itemid=116

0 comments:

Kalendar

About Me

My photo
Merupakan anak ke 7 drpd 11 orang adik beradik. "jika ada di antara kamu dua puluh Yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh Yang kafir itu); dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan Yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu) orang-orang Yang tidak mengerti". (Anfal:65)


Kata-Kata Hikmat


"Belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin, biarlah mahasiswa mencabar asalkan sambil itu mereka belajar.." - Prof Ungku A. Aziz.


"ALANG-ALANG BERJUANG ISLAM,BIAR SAMPAI KEMENANGAN ISLAM"


"KALU NAK JADI BERANI,KENO PEHE UNDANG2"


GAMIS

GAMIS

PUM

Pro Mahasiswa

Pro Mahasiswa

GMMA

GMMA

PMN

PMN

REAL

REAL

:: Tazkirah bersama Da'ie ::


"Golongan MUDA kaya dengan speed,
Golongan TUA kaya dengan pengalaman,
Maka kedua-duanya perlu bersatu untuk menghasilkan gerakan yang MAJU dan LAJU..."

5 Dugaan Orang Mukmin


1) Mu'min yang dengki padanya
2) Munafiq yang benci padanya
3) Kafir yang memeranginya
4) Syaitan yang menyesatkannya
5) Nafsu yang sering bertarung untuk mengalahkannya


Mujahid di tengah medan bagai singa mengganas,

Muhajir di dalam diri bagai seorang anak merintih sayu,
Mujaddid di tengah umat bagai pakar mengatur rencana,
Muttaqin menghadap Ilahi bagai hamba mendapat syurga.
Inilah jalan menuju bahagia.
3 AMALAN YANG MENGHAPUS DOSA:

1.Menyempurnakan wuduk

2. Memeperbanyakkan langkah ke masjid.
3. Menunggu waktu solat